Friday 12 October 2012

Pencarian Guru dan Pembantu Guru dan Iklan PASTI An-Nur

Seterusnya.....

Pencarian Guru dan Pembantu Guru untuk PASTI An-Nur telah berlangsung di Masjid Lama Kabong pada 6 Oktober 2012 baru-baru ini. Pada hari yang sama juga, kami telah membuat pemilihan Guru dan Pembantu Guru PASTI An-Nur dengan dibantu oleh Ust. Zalizan serta isteri iaitu Kak Mai..

Tahniah kepada calon yang terpilih dan barjaya dalam interview.
Bagi yang tidak berjaya, InsyaAllah, Mungkin rezeki anda di tempat lain.
Terima kasih kerana menghadiri temuduga pada hari tersebut..


Pemilihan Guru dan Pembantu Guru

Selesai sudah pemilihan guru dan pembantu guru. Gerak kerja seterusnya membuat iklan kemasukan PASTI An-Nur yang akan beroperasi pada Januari 2013. 


 Pastikan Anda Pilih PASTI An-Nur








Penubuhan PASTI An-Nur, Kabong

Assalamualaikum wbt..

Alhamdulillah, bersyukur kepada Ilahi kerana diberi hidayah untuk membentuk sebuah barisan AJK PASTI Kawasan Kabong pada 8 September 2012. Dengan terbentuknya barisan AJK ini, kami telah bermesyuarat untuk membincangkan tentang penubuhan Pusat Asuhan Tunas Islam di Kawasan Kabong yang diberi nama PASTI An-Nur. 

Di mana, Kabong adalah sebuah kawasan perkampungan Melayu yang mempunyai penduduk yang agak ramai. Melihat kepada potensi ini, mencetuskan idea penubuhan cawangan PASTI di sini. Menyaksikan kejayaan PASTI di Kuching, Miri dan Bintulu serta perkembangan positif warga bandaraya tersebut dengan pembukaan Pusat Asuhan Tunas Islam ini yang sudah menyerlah akan kepentingan pendidikan berteraskan al-Quran dan as-Sunnah juga menjadi satu semangat untuk kami menubuhkan PASTI An-Nur di Kabong dengan harapan tinggi untuk anak-anak Kabong.

Harapan kami semoga warga Kabong juga menyokong dengan apa yang kami sediakan untuk anak-anak mereka dengan menghantar anak-anak ke PASTI An-Nur. Semoga usaha ini mendapat keredhaan dan keberkataan daripadaNYA. Amin (^_^)

InsyaAllah, PASTI An-Nur akan dibuka pada Januari 2013. Tunggu kedatangan kami warga Kabong..



Sejarah Ringkas Pusat Asuhan Tunas Islam (PASTI)


Assalamualaikum wbt..

Sahabat-sahabat sekalian, jom imbau kembali sejarah PASTI.
Apa matlamat, visi, misi dan objektif PASTI..

Bismillahir Rahmanir Rahim...

Cetusan untuk menubuhkan pusat prasekolah Islam telah bemula sejak akhir tahun 1970-an. Perkembangan pendidikan yang semakin pesat dan pertumbuhan pusat-pusat didikan prasekolah yang semakin meningkat telah menyemarakkan lagi semangat para pejuang dan pencinta Islam untuk memberikan suatu alternatif kepada sistem pendidikan yang sedia berjalan. Hasil daripada itu timbullah idea untuk menubuhkan pusat pendidikan prasekolah Islam yang pada peringkat awalnya diberi nama TADIKA ISLAM.

PASTI terus berkembang seiring dengan perkembangan zaman dan kemajuan dunia hari ini dengan penambahan kelas-kelas di seluruh negara dan pada suatu ketika meratai kesemua 14 buah negeri dan Wilayah Persekutuan.

VISI
Melahirkan Insan Soleh di Malaysia melalui pendidikan pra sekolah sebagai elemen terpenting.

MISI
Meningkatkan kualiti pengajaran dan pembelajaran, pengurusan serta kuantiti PASTI di Malaysia bagi menjadikan PASTI pilihan utama kepada masyarakat yang cintakan pendidikan Islam

MATLAMAT PENUBUHAN PASTI
Matlamat Am
Mengembalikan pemafahaman masyarakat umum kepada kepentingannya pendidikan Islam dan merangsang kepekaan kebangkitan Islam sejagat. Mengadakan pendidikan awal (pra-sekolah) bagi melahirkan insan yang beriman, berilmu, beramal soleh dan berakhlak mulia.
Menyediakan wadah awal pendidikan berorentasikan Harakah Islamiyyah untuk jangka masa panjang. Menjadi pusat untuk membentuk fikrah masyarakat yang sedang mengalami dan menghadapi keruntuhan aqidah dan akhlak akibat dari serangan ideologi sekular dan kebendaan. Menyedarkan masyarakat umum tentang hakikat tarbiyah Islamiyyah beristiqamah dan beriltizam dengan Islam.

Matlamat Khas
Menyedar dan meningkatkan kesempurnaan Tauhid agar beramal dengan setiap kebaikan yang diredhai Allah dan RasulNya dan meninggalkan setiap kemungkaran yang dimurkai Allah S.W.T. Membentuk peribadi insan agar mencontohi peribadi mulia Rasulullah s.a.w.
Memberi galakan kepada kanak-kanak secara intensif agar mereka dapat menjiwai fitrah kelahiran manusia dan mengabdikan diri hanya kepada Allah. Memberi kesedaran betapa pentingnya bahasa sebagai alat komunikasi dalam kehidupan seharian terutamanya bahasa Al-Quran.

OBJEKTIF PENDIDIKAN PASTI
Menyediakan proses pendidikan awal yang berorentasikan sistem pendidikan Islam ke arah melahirkan anak yang soleh, berilmu dan beramal. Mendidik jiwa dan akal kanak-kanak dengan didikan Islam bersumberkan ajaran Al-Quran dan Hadis. Membimbing kanak-kanak supaya menghayati ibadah , akhlak dan cenderung melakukan ma’ruf serta meninggalkan mungkar. Melatih kanak-kanak membaca, menghafaz dan menghayati Al-Quran , doa dan zikir. Memberi pengetahuan kepada kanak-kanak asas-asas bahasa, matematik dan komunikasi ke arah kebolehan membaca, mengira, menulis dan menghafal.